Golongan manusia dalam mencari harta Kekayaan dunia
1. Golongan yang hanya percaya kehidupan dunia
semata-mata, tidak ada kehidupan yang kedua atau kehidupan hari Akhirat.
Kalaupun mereka percaya, bahwa kesenangan atau kesusahan kehidupan di dunia ini
yang menentukan kesenangan dan kesusahannya di Akhirat. Oleh karena itu mereka memburulah
kesenangan dan kekayaan dunia tanpa batas, mereka hanya memikirkan makan, minum
dan seks. Mereka tidak akan memikirkan halal dan haram baik mencarinya mahupun
menggunakannya. Halal dan haram tidak ada di dalam kamus hidup mereka. Mereka
benar-benar tenggelam di dalam memburu dunia semata-mata iaitu makan, minum dan
seks. Mereka itu ialah golongan seperti yang Allah firmankan melalui Al Quran
seperti binatang, bahkan lebih sesat lagi iaitu golongan orang kafir.
2. Golongan yang merebut harta dengan tamak tapi masih
menjaga tentang halal dan haram, zakat dikeluarkan, masih menjaga
perkara-perkara yang asas, namun tidak sanggup dibelanjakan ke jalan Allah
Taala. Tapi dibelanjakan ke jalan haram pun tidak juga, sekadar untuk
kepentingan sendiri dan suka menyimpan. Itulah golongan muslim yang bakhil.
3. Golongan yang merebut dunia yang masih menjaga
usahanya itu daripada yang haram, zakat tetapi dikeluarkan, apa yang didapati
tidak puas-puas kerana ingin kaya hingga cuai melaksanakan amalan yang asas di
samping tidak dikorban ke jalan Allah Taala. Ini golongan yang tamak.
4. Golongan yang memburu harta tetap menjaga amalan yang
asas dan usahanya juga halal tapi tidak mengeluarkan zakat dan tidak
dikorbankan ke jalan Allah. Itulah golongan muslim yang tertipu atau lalai.
5. Golongan yang bersungguh-sungguh mencari kekayaan tapi
dengan tujuan untuk khidmat. Semua hal dijaga, ibadahnya yang asas dijaga,
usahanya halal, zakat dikeluarkan, dikorbankan ke jalan Allah, pemurah kepada
fakir miskin. Inilah golongan yang bersyukur dan pemurah tapi hisabnya banyak.
6. Golongan mencari harta sekadar untuk hidup dan boleh
beribadah kepada Allah, tidak mahu mencari harta yang banyak takut tidak dapat
menunaikan kewajipan dan takut lalai daripada Allah dan mereka pemurah pula,
usahanya sangat dijaga daripada haram dan syubhat. Itulah golongan orang yang
soleh dan pemurah.
7. Golongan yang tidak suka bersusah-susah dengan harta
dunia tapi bukan pula kerana takut lalai, tidak juga kerana takut tidak dapat
menunaikan kewajipan. Kalau tidak ada dia meminta-minta tapi tidak pula dia
mencuri, menipu dan sebagainya. Ibadah tetap dilaksanakannya. Itulah golongan
muslim yang pemalas.
8. Golongan yang tidak ada usaha langsung kerana
menumpukan semata-mata untuk ibadah kepada Allah dan tidak pula meminta-minta.
Tentang rezekinya diserah bulat-bulat kepada Allah. Bahkan ada kalanya orang
memberi pun dia menolaknya. Itulah golongan siddiqin.
9. Golongan yang tidak suka bersusah payah mencari
rezeki, bila tidak ada dia meminta, menumpukan ibadah tidak juga. Inilah
golongan yang fasik yang pemalas.
Di dalam pada itu ada golongan yang memburu harta,
kalau dapat dia lalai, kalau tidak dapat pun dia
lalai.
Ada golongan jika dapat menjadi kaya dia lalai
tapi jika tidak dapat dia tidak lalai.
Ada golongan yang apabila dia tidak dapat dia lalai,
bila dapat dia tidak lalai.
Ada golongan jika dia kaya dia lalai dan kalau miskin
pun dia lalai tapi bila pendapatannya sederhana dia tidak lalai.
Ada golongan di dalam suasana
apa dan bagaimana sekalipun dia tetap boleh mengabdikan dirinya kepada Allah
dan mereka tetap tidak dilalaikan oleh kehidupan dunia. Golongan itulah yang
menjadikan dunia sebagai jambatan ke Akhirat.
0 comments:
Post a Comment